67.4 peratus penduduk dewasa Sabah lengkap terima vaksin Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 1,859,799 orang atau 67.4 peratus penduduk dewasa di Sabah telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 sehingga Selasa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, sehingga semalam juga sebanyak 2,061,944 atau 74.8 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima satu dos vaksin tersebut.

"(Selain itu) Sehingga kini, 282,982 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sabah telah menerima satu dos vaksin Covid-19," katanya dalam kenyataan malam Rabu.

Mengenai perkembangan kes Covid-19, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata angka jangkitan di Sabah adalah tidak statik yang mana setelah mencatatkan peningkatan semalam, kes merekodkan sedikit penurunan iaitu 15 kes menjadikan 790 kes dicatat pada Rabu.

"Sebanyak 90.38 peratus daripada jumlah kes pada hari ini adalah kategori satu dan dua yang lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri di rumah atau di PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah), selebihnya kategori tiga, empat dan lima," katanya.

Beliau berkata, 1,472 pesakit Covid-19 sembuh pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif 188,294 orang sembuh, manakala 2,627 pesakit masih menerima rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!