PPV Mega Pulau Pinang ditutup, perasaan sukarelawan bercampur baur

Anggota polis bersama para petugas sukarela Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen SPICE bergambar kenangan pada hari terakhir PPV itu beroperasi hari ini. -Foto Bernama
Anggota polis bersama para petugas sukarela Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen SPICE bergambar kenangan pada hari terakhir PPV itu beroperasi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Sukarelawan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbesar di Pulau Pinang, Pusat Konvensyen PPV SPICE (SPICE CC) dilihat tidak dapat menahan air mata pada hari terakhir berkhidmat di PPV yang akan ditutup secara rasmi esok.

PPV itu yang beroperasi 66 hari, menguruskan pemberian sejumlah 5,000 dos vaksin sehari, ditutup untuk selama-lamanya berikutan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Isnin bahawa tiada keperluan bagi PPV mega meneruskan operasi vaksin Covid-19 memandangkan majoriti individu telah divaksin sepenuhnya.

Kesemua sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), Nor Amirah Farhanim Abdul Rahim, 20; Izzat Arif Aiman Abdul Samad, 23; Kirtishaa Shanmuganathan, 20; dan Izzatun Munira Habibnullah, 23, meluahkan perasaan bercampur baur pada hari terakhir ditempatkan di PPV mega itu.

“Saya rasa sedih kerana pengalaman ini akan berakhir kerana ia banyak mengajar saya tetapi pada masa yang sama saya gembira dan berpuas hati kerana saya dapat membantu orang ramai memudahkan urusan mereka divaksinasi,” kata Nor Amirah kepada Bernama pada Rabu.

Berkongsi sentimen yang sama, Izzat Arif memberitahu, sukarelawan adalah seperti sebuah keluarga besar di PPV dan beliau sedih kerana ia adalah hari terakhir mereka dapat bersama.

Mengimbau kembali pengalamannya, Izzatun Munira memberitahu, sebagai sukarelawan di PPV, banyak yang dipelajari antaranya, bersabar dan mengawal emosi.

“Memandangkan ini adalah PPV mega, kami bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan mereka mempunyai keperluan berbeza, yang kadang-kadang benar-benar menguji kesabaran saya.

“Bagaimanapun saya berjaya mengawal emosi kerana saya percaya kami sebagai petugas MyVAC, mewakili banyak pihak seperti Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Bulan Sabit Merah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Kirtishaa, bertugas sebagai sukarelawan telah membentuk dirinya agar bijak menguruskan masa kerana dia juga perlu mengikuti kelas secara dalam talian di universitinya.

Sukarelawan dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Chin How Zet, 25, pula menjelaskan, PPV mega itu merupakan tugasan ketiga beliau selepas PPV Kompleks Masyarakat Penyayang dan PPV Tapak Pesta.

“Melaksanakan tugas ini adalah peluang terbaik bagi kami untuk memberi semula kepada masyarakat dan membantu negara kita untuk meningkatkan ekonomi dengan lebih cepat. Jika lebih ramai divaksinasi, ini bermakna lebih banyak sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri, Dr Norlela Ariffin mengesahkan penutupan PPV SPICE CC. Kata beliau, remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan mendapatkan vaksin Pfizer-BioTech Covid-19 di PPV SPICE Arena. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!