10 pelancong bersama dadah, ubat batuk ditahan polis
LANGKAWI - 10 pelancong dari Kuala Lumpur ditahan polis bersama sejumlah dadah jenis ketamin dan ubat batuk di sebuah bilik hotel di Pantai Tengah, Langkawi, dekat sini pada jam 1.30 pagi pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hasil pemeriksaan rapi ke atas tubuh badan semua suspek dan kawasan dalam bilik menjumpai lapan paket plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis ketamin dengan berat 7.2 gram dan dua botol dipercayai ubat batuk kira-kira 200 milimeter.
Menurutnya,semua suspek lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun kemudian ditahan oleh polis untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil saringan air kencing mendapati enam orang positif dadah ketamin manakala empat lagi negatif.
"Kesemua mereka juga dikenakan kompaun kerana melanggar syarat prosedur operasi standard (SOP) dengan jumlah RM 4,000.00 setiap seorang kerana berkumpul di bilik hotel yang sama dan aktiviti yang menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Shariman berkata, semua pelancong yang datang bercuti itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, kompaun pula dikenakan mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!