Rosmah tepis dakwaan dirinya suka mengawal
KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tempoh perkahwinannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mencapai 34 tahun sekiranya beliau adalah seorang 'yang suka mengawal' seperti didakwa oleh pendakwaan.
Rosmah, 69, berkata, jika beliau mempunyai sikap 'suka mengawal’ dan 'mampu mempengaruhi keputusan dalam sektor awam' seperti yang cuba ditonjolkan oleh pendakwaan terutama Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, ia adalah perkara yang amat menghairankan.
"Pihak pendakwaan cuba menggambarkan saya mempunyai keperibadian yang negatif melalui P36 (perbualan dalam rakaman audio berbunyi antaranya "Can I advise you something?") dan menggunakan tuduhan tersebut kononnya saya memerintah Datuk Seri Najib, ketika itu Perdana Menteri, untuk menuruti kehendak saya di dalam projek solar hibrid tersebut (yang saya nafikan).
"Ini adalah tuduhan yang tidak benar, tidak disahkan dan ia tidak boleh diambil pertimbangan oleh mahkamah ini. Situasi seperti ini tidak berlaku sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari kedua prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Merujuk perbualan dalam rakaman audio itu, Rosmah menjelaskan, beliau dan suami adalah manusia biasa, sama seperti pasangan lain dan perbualan mereka adalah bersifat peribadi.
"Saya memberikan pendapat saya dan suami saya pula mendengar, dan begitulah sebaliknya.
"Ada ketikanya, suami saya memberikan pandangan beliau dan saya pula menjadi pendengar. Sama ada suami saya menerima pandangan saya atau sama ada saya menerima pandangan suami saya, adalah soal kedua. Ini adalah resam rumah tangga dan asam garam kehidupan berkeluarga.
"Di dalam P36 itu, saya tidak pernah sama sekali mengkehendakkan suami menuruti pandangan saya, saya hanya sekadar menekankan pandangan dan perasaan saya. Itu sahaja," katanya sambil menambah bahawa ketepatan dan kesahihan rakaman audio itu tidak dapat dipastikan kerana orang yang merakamnya juga tidak dapat dipastikan manakala perbualan dalam eksibit tersebut tidak menyentuh projek hibrid solar.
Pada 18 Februari lepas, rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat "Can I advise you something?" diterima sebagai eksibit dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid.
Rakaman audio itu, yang sebelum ini dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai adalah sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan Najib dimainkan pihak pendakwaan semasa bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan.
Rosmah turut menafikan beliau memberikan idea agar satu perjanjian konsultasi disediakan bagi memastikan Jepak Holdings Sdn Bhd menunaikan janji membayar sumbangan politik selepas berjaya mendapat projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion itu.
Beliau menjelaskan, idea untuk menyediakan perjanjian konsultansi yang didakwa sebagai satu cara pembayaran kepada beliau dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan, Lawrence Tee Kien Moon iaitu saksi pendakwaan ke-20.
Menurut Rosmah, Datuk Rizal Mansor berbohong ketika memberi keterangan bahawa beliau beberapa kali mengingatkan bekas pembantunya itu supaya menyediakan perjanjian untuk mengikat Jepak agar menunaikan janji memberikan sumbangan politik selepas mendapat kontrak daripada Kementerian Pendidikan.
"Keterangan Rizal tidak masuk akal kerana perjanjian konsultasi itu kemudian dibatalkan kerana Jepak telah diberikan projek hibrid solar dan perkara itu membuktikan saya tiada kena-mengena dengan apa-apa kepentingan dalam projek berkenaan," katanya.
Rosmah turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak pernah membantu Jepak mendapatkan minit Perdana Menteri berhubung surat sokongan bagi syarikat itu mendapatkan projek tersebut.
"Kesemua 11 minit dan parap Perdana Menteri untuk Jepak diperoleh oleh Datuk Aazmey Abu Talib dan anehnya, beliau tidak pernah dipanggil oleh pihak pendakwaan sebagai saksi mahupun ditawarkan kepada pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan," katanya.
Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek tersebut secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!