MATTA Fair kembali April ini
JOHOR BAHRU - Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) kembali lagi di Johor dengan pelbagai tawaran menarik.
Pengerusi MATTA Johor Chapter, Kathryn Lee berkata, buat pertama kali pengunjung akan disajikan dengan cabutan bertuah harian berupa tiket penerbangan pada setiap malam.
"Sebelum ini kita cuma ada cabutan bertuah perdana dan kali ini kita buat kelainan.
"Setiap jam 9 malam selama tiga hari, cabutan bertuah tajaan Malaysia Airlines (MAS) di mana sesiapa sahaja yang ke MATTA Fair bulan depan layak menyertainya," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.
MATTA Fair 2019 bakal diadakan di Capital City, Tampoi pada 5 April hingga 7 April bermula jam 10.30 pagi.
Sebanyak 130 pempamer domestik dan antarabangsa akan menyertai penganjuran MATTA Fair kali ini dengan menawarkan pelbagai destinasi menarik di dalam dan luar negara.
Pihaknya mensasarkan 13,000 pengunjung yang berpotensi untuk penganjuran pertama tahun ini dengan hasil jualan RM13 juta bagi tiga hari tersebut.
Menurut Kathryn, pengunjung tidak perlu bimbang dengan masalah parkir kerana lebih 2,000 tempat letak kereta disediakan.
Setiap pengunjung dewasa dikenakan bayaran masuk RM3 dan percuma untuk kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!