Lelaki dipukul, diikat guni berisi pasir sebelum dicampak ke laut

No Image Caption
A
A
A

PARIT BUNTAR - Mayat seorang lelaki yang ditemukan tersangkut pada pukat nelayan di perairan Tanjung Piandang di sini pada Selasa, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, mayat berusia lingkungan 16 hingga 35 tahun itu ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki berikat dengan guni berisi pasir.

"Mayat mangsa dibawa ke Forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan pemeriksaan mendapati mangsa telah mati beberapa hari lalu berikutan keadaan fizikal yang telah membusuk.

"Siasatan lanjut mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat trauma tumpul," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ambri Mat Nayan di talian 011-13092525 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki ditemui terapung kira-kira jam 10 malam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang dijalankan oleh pasukan penyelamat.

Mayat lelaki tanpa identiti itu dibawa oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!