Rakyat kembali tagih gaji yang lebih ‘bermaruah’
NEGARA bakal mengakhiri tahun 2021 tidak lama lagi namun isu tahap gaji minimum di Malaysia masih tiada jalan penyelesaian.
Rata-rata golongan bujang mahu pun sudah berkahwin tidak sanggup lagi menerima kadar gaji minimum terkini yang tidak setimpal dengan peredaran ekonomi negara.
Isu gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan kembali hangat diperkatakan kerana rakyat sudah lama merasa terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat saban tahun.
Kadar upah pekerja yang dikatakan masih sama seperti 10 tahun lepas dilihat tidak setimpal dengan kadar ekonomi yang semakin tinggi.
Seiring dengan hala tuju strategik berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga sedar tentang isu gaji rendah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Ismail Sabri juga ada menyatakan secara terperinci antara matlamat utama dalam tempoh RMK12 adalah pencapaian purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 menjelang 2025.
Oleh itu, adalah satu keperluan bagi kerajaan untuk meningkatkan kadar gaji minimum pekerja di semua sektor negara ini agar matlamat itu berjaya direalisasikan.
Bahkan, isu ini turut dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berhubung komitmen kerajaan dalam kajian semula gaji minimum, seperti dimaklumkan Perdana Menteri semasa ucapan Hari Buruh 2021.
Dalam pada itu, menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, kajian sedang dijalankan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) dalam memperhalusi dan menganalisis semua dapatan kajian semula gaji minimum.
Tambah beliau, ia selaras dengan Seksyen 25 (1), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 iaitu Akta 732 yang memperuntukkan kajian terhadap perintah gaji minimum perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun.
“Dalam melaksanakan kajian semula, usaha diambil bagi membangunkan borang kaji selidik dan menganalisis data diperoleh bagi mendapat perincian kesan langsung perintah gaji minimum 2020 kepada majikan dan pekerja. Dapatan ini akan dibentangkan di suku keempat 2021, maknanya hujung tahun ini dan akan dilaksanakan pada 2022,” kata beliau ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada 22 September lalu.
Berdebat mengenai gaji minimum, sampai bila-bila pun tidak akan pernah habis.
Semuanya bergantung kepada majikan, pembekal dan permintaan kerja kerana syarikat atau majikan adalah berbeza dan tidak semua mampu memberi faedah yang terbaik kepada pekerja.
Walaupun gaji permulaan bagi graduan baharu mungkin rendah dan susah ditetapkan kerana perbezaan kelayakan, namun kerajaan mempunyai kuasa meningkatkan kenaikan gaji minimum negara.
Persoalannya, bilakah kadar upah di negara ini akan meningkat kepada kadar sepatutnya?
Oleh sebab itu, pihak kerajaan harus segera dan bijak menetapkan gaji minimum pekerja yang dirasakan sesuai demi menolong rakyat yang berdepan pelbagai kesusahan ketika ini.
Kerajaan juga disaran untuk memperkenalkan beberapa bentuk elaun baharu khusus bagi membantu serta mengurangkan masalah kos sara hidup yang terpaksa dilalui pekerja.
Isu kadar upah rendah ini perlu diberi keutamaan segera kerana membabitkan masalah ekonomi dan sosial.
Antaranya, peningkatan kos sara hidup, kenaikan hutang isi rumah, keberadaan dalam golongan guna tenaga tidak penuh dan implikasi negatif kepada emosi, psikologi, identiti dan maruah serta harga diri seseorang pada masa hadapan.
Pihak kerajaan tidak boleh semberono meletakkan gaji ke atas semua sektor kerana perbezaan kelayakan, kemahiran, risiko, beban kerja dan sifatnya. Aturan gaji perlulah dibuat berdasarkan sektor. Diharap tahap gaji juga seiring dengan kepesatan dunia yang semakin mencabar.
* Nadjwatul Huda Mohd Zuraidi ialah Pencipta Kandungan Media Sosial di Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!