'Dah bebas memancing'
TEMERLOH - Peralihan Pahang ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada 24 September lalu disambut gembira oleh geng kaki pancing kerana mereka kini bebas untuk memancing di lokasi kegemaran mereka di negeri tersebut.
Seorang kaki pancing, Ahmad Zubair Ibrahim, 25 dari Temerloh berkata, dia terus ke lokasi memancing kegemarannya untuk melepas gian sebaik sahaja peralihan fasa tersebut diumumkan memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 menyebabkan dia terhad untuk melakukan aktiviti berkenaan.
"Pada hari pertama Pahang beralih ke Fasa Tiga PPN, saya terus pergi memancing selepas sekian waktu menahan sabar.
"Syukur kerana hasil tangkapan saya agak lumayan. Saya dapat ikan sebarau seberat kira-kira tujuh kilogram baru-baru ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) dia berkata, ia bukanlah sesuatu yang sukar diamalkan oleh pemancing kerana aktiviti tersebut sememangnya mengamalkan penjarakan fizikal.
"Memang memancing kena berada pada jarak tertentu. Jika dekat dibimbangi bunyi bising dan ikan akan lari," katanya.
Rakannya, Khairul Nizam Othman,28, pula berkata, sebagai kaki pancing, dia begitu gembira dengan peralihan Pahang ke Fasa Tiga PPN kerana dapat kembali bebas meneruskan hobi mereka.
Seorang lagi pemancing, Muhamad Awal Muhamad Sabri, 32, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk memancing selepas peralihan fasa tersebut namun akan sentiasa ingat untuk mematuhi SOP.
"Dalam keseronokan kerana dapat kembali memancing, saya tidak akan lupa SOP dalam mengekang penularan Covid-19," ujarnya.
Bagi Kamarudin Awaluddin,39, dia juga antara kaki pancing yang lega setelah Pahang beralih fasa.
"Saya mula memancing sejak berada di sekolah rendah. Sudah beberapa lokasi di Temerloh saya kunjungi untuk memancing. Baru-baru ini antara ikan saya peroleh ialah ikan patin buah dan patin muncung pasir," katanya yang memiliki saluran memancing di YouTube, Aiman Tak Kisah Casting.
Sementara itu, bagi seorang pemandu lori, Mohd Azizi Saifullah Sazalli,33, dia lega dengan kelonggaran yang diberikan untuk aktiviti memancing.
"Antaranya boleh rentas daerah untuk ke lokasi memancing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!