Sepanyol akhiri rekod tanpa kalah Itali

Torres meraikan jaringan bersama pemain Sepanyol lain ketika perlawanan menentang Itali di San Siro.
Torres meraikan jaringan bersama pemain Sepanyol lain ketika perlawanan menentang Itali di San Siro.
A
A
A

GERGASI Eropah, Sepanyol mengakhiri rekod tanpa kalah Itali dalam 37 perlawanan apabila menewaskan juara Euro 2020 tersebut 2-1 dalam perlawanan separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA di Stadium San Siro awal pagi tadi.

Tonggak La Roja, Ferran Torres menjadi duri dalam daging buat Gil Azzurri apabila meledak dua gol dalam perlawanan berintensiti tinggi yang menyaksikan tuan rumah beraksi 10 pemain selepas Leonardo Bonucci dilayangkan kad merah pada minit ke-42 selepas menerima kad kuning kedua setelah menyiku Sergio Busquets.

Torres sebelum itu terlebih dulu meletakan La Roja di depan pada minit ke-17 selepas menyudahkan hantaran Mikel Oyarzabal untuk menewaskan penjaga gol sensasi Itali, Gianluigi Donnarumma.

Skuad Luis Enrique yang dijinakkan 2-4 anak buah Roberto Mancini menerusi penentuan sepakan penalti di pentas separuh akhir kejuaraan Euro 2020, terus melebarkan jaringan Torres pada minit ke-47 yang menyudahkan hantaran Oyarzabal untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Itali yang tidak berputus asa kembali merapatkan jurang pada minit ke-83 menerusi pemain gantian Lorenzo Pellegrini yang menterjemahkan hantaran Enrico Chiesa dalam bentuk jaringan untuk kedudukan 2-1.

Sepanyol akan menunggu pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir yang menemukan Perancis dan Belgium yang berentap di Turin awal pagi Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!