Polis siasat klip video ceramah pendakwah berbaur perkauman
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu klip video tular seorang penceramah bebas yang didakwa berbaur penghinaan agama dan kaum.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, video berdurasi satu minit yang mula tular di beberapa aplikasi media sosial sejak beberapa hari lalu itu mengundang kemarahan orang ramai.
"Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Abd Jalil berkata, penceramah bebas itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
"Kita menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.
“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.
Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya.
Pada Selasa, menurut laporan beberapa portal berita, penceramah bebas itu menjelaskan kenyataannya diambil dari luar konteks sehingga menyebabkan ramai salah faham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!