Seorang maut, tiga cedera kereta terbabas
KAJANG - Seorang wanita maut manakala tiga lagi rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal Lebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk) awal pagi Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.39 pagi dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Beliau memberitahu, kejadian melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki empat individu dipercayai dari Putrajaya menghala ke Kajang.
"Kereta berkenaan dipercayai terbabas dan masuk ke kawasan Rehat dan Rawat Sungai Ramal," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati terdapat seorang wanita terperangkap dalam kenderaan tersebut.
"Tiga mangsa lagi mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sebelum pihak bomba tiba di lokasi," katanya.
"Mangsa terperangkap yang dikeluarkan anggota bomba disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!