'Tak sangka WhatsApp terakhir'

Zolkples (kiri), bersama Abdul Halim menyaksikan Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai 2018 di Fashion Island, Bangkok.
Zolkples (kiri), bersama Abdul Halim menyaksikan Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai 2018 di Fashion Island, Bangkok.
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader tidak menyangka mesej menerusi aplikasi WhatsApp bersama bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong pada pagi Sabtu, merupakan perhubungan terakhir mereka.

Menurut Abdul Halim yang juga merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), berita mengenai pemergian Allahyarham pada pagi Ahad, sungguh mengejutkannya.

“Saya baru sahaja menghubungi beliau melalui mesej WhatsApp semalam (Sabtu) jam 7.05 pagi dan beliau menerimanya dan membacanya.

“Sebab itu saya terkejut dengan berita pemergian Allahyarham kerana kami baru sahaja berhubung melalui WhatsApp pada 7.05 pagi (Sabtu).

“Malah, kami di ISTAF dan ASTAF sungguh terperanjat mendapat khabar yang tidak diduga.

ARTIKEL BERKAITAN:Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia

Satu berita yang amat sedih kerana kami kehilangan seorang sahabat yang juga seorang pentadbir sukan yang terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Pada Ahad, Allahyarham ditemukan terbaring di ruang dapur kediamannya oleh beberapa pegawai MSN yang berkunjung ke kediamannya di Pandan Indah, berikutan Allahyarham yang tinggal berseorangan tidak dapat dihubungi selain tidak hadir untuk solat Jumaat di Vista, MSN.

Artikel Berkaitan:

Zolkples kemudiannya disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Pihak polis turut mengesahkan kematian Allahyarham tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN:Kematian bekas Ketua Pengarah MSN tiada unsur jenayah

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjid Seri Petaling urusan mandi, kafan serta solat jenazah, selepas solat Zohor dan seterusnya ke Dungun Terengganu bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Syed Yahya.

Sementara itu Abdul Halim berkata, Allahyarham sejak setahun lalu sehingga pada pagi Sabtu aktif berbincang dengannya bagi membolehkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menerima sepak takraw dan silat untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik Paris 2024 atau di Los Angeles 2028.

“Saya telah mengenali Allahyarham selama hampir 30 tahun. Allahyarham seorang yang berpengalaman luas dan sangat dikenali dalam bidang sukan bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat Asia.

“Saya juga dapati, Allahyarham beliau begitu dekat dengan sukan sepak takraw dan mahu melihat sukan itu dipertandingkan di Olimpik, suatu hari nanti.

"Insya-ALLAH, saya dan pasukan ISTAF akan cuba menjadikan harapan Allahyarham ini satu realiti suatu hari nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!