Imigresen gempur sarang pelacuran di 'rumah merah'
KUALA LUMPUR - Serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di kawasan apartment kos rendah di Jalan Pudu pada Rabu membongkar kegiatan pelacuran di dua buah premis yang dikenali sebagai 'rumah merah'.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 13 individu warga asing ditahan dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati premis terbabit dikunjungi pelanggan termasuk warga asing untuk mendapatkan pakej perkhidmatan seks dengan harga serendah RM60.
"Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen menyerbu kedua-dua premis itu secara serentak pada jam 3.30 petang dengan kekuatan seramai 27 orang pegawai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, ketika serbuan, terdapat pelanggan dan wanita warga asing cuba melarikan diri.
"Cubaan meloloskan diri itu bagaimanapun berjaya digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung.
"Modus operandi perkhidmatan ini adalah pelanggan berjumpa penjaga pintu premis sebelum dibawa ke dalam untuk pemilihan pelayan," jelasnya.
Beliau berkata, 13 warga asing yang ditahan itu berumur 20 tahun hingga 40 tahun.
"Antara yang ditahan ialah lapan wanita warga Vietnam, empat wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Vietnam.
"Selain itu, dua lelaki tempatan yang merupakan penjaga pintu dan enam lelaki warga tempatan yang merupakan pelanggan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan pelacuran itu dibahagikan kepada dua syif iaitu dari jam 7 pagi hingga 3 petang dan 3 petang hingga 9 malam.
"Biasanya seorang pelacur mampu melayan sehingga 14 orang pelanggan dalam satu syif," katanya.
Tambah beliau, terdapat pelbagai kesalahan lain yang dikenal pasti seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
"Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!