Pinta akhirnya pulang ke Malaysia
KUANTAN - Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) Kebangsaan yang terkandas di Pakistan susulan situasi tegang yang berlaku antara negara itu dan India akhirnya akan pulang ke Malaysia pada hari ini.
Pengerusi Pinta Pahang, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani yang turut berada di sana memaklumkan setelah mendapat khidmat nasihat daripada Kedutaan Malaysia di Islamabad, Pakistan, pihaknya telah mengatur perjalanan untuk pulang ke tanah air.
Menurutnya, mereka yang terkandas sejak Febuari lalu bersyukur kerana urusan perancangan mereka untuk pulang ke Malaysia dipermudahkan oleh ALLAH di samping berkat doa rakyat Malaysia.
"Alhamdulillah, semua dalam keadaan baik..Pada Isnin lalu, kami telah mengambil keputusan untuk menaiki kereta api dari Lahore ke Karachi.
"Setibanya di Karachi semalam, kami menaki kapal terbang menuju ke Dubai dan akan berlepas dari Dubai ke KLIA pada hari ini (semalam) dan kami dijangka tiba di Malaysia jam 8.30 pagi esok..
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia di Pakistan yang banyak membantu kami dan alhamdulillah ini semua berkat doa rakyat Malaysia," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, ditanya pengalaman yang diterima, Abdul Salam berkata, banyak kenangan manis yang dikecapi ketika berada di negara Pakistan.
Menurutnya, selain dapat merasai pelbagai makanan tempatan di sini, pihaknya juga dapat bergaul dengan umat Islam di sana yang sangat peramah dan menghormati kami sebagai tetamu.
"Di sini kami dapat bertemu dan belajar dengan para ulama-ulama yang hebat di samping mengutip kata-kata nasihat daripada mereka terutamanta dalam bidang al-Quran dan ulum.
"Masyarakat di sini amat menghormati kami..kami di sini (Pakistan) diraikan umpama tetamu kehormat...kami juga dapat bergaul dengan ramai umat Islam di seluruh dunia yang telah berkumpul di sini.
"Namun bila dah terlalu lama di sini, kami amat rindukan Malaysia terutamanya bila teringatkan anak-anak dan isteri di Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!