93 pelajar cemerlang terima anugerah biasiswa TNB
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganugerahkan biasiswa kepada 93 pelajar cemerlang menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) sebagai salah satu sumbangan syarikat terhadap agenda pembangunan modal insan negara.
Seramai 20 orang daripada 8,400 pemohon ditawarkan pengajian di luar negara dalam bidang Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Perakaunan/Kewangan serta Data Sains dan Analitik.
Seramai 73 pelajar lagi akan melanjutkan pelajaran di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Sains Komputer, Kewangan, Pengajian Bisnes dan Perakaunan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha TNB itu merupakan satu manifestasi hubungan bermakna rakyat bersama pihak mereka.
“Bagi pihak kerajaan Persekutuan, saya merakamkan penghargaan kepada TNB atas usaha untuk bersama-sama membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama selepas negara menghadapi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
“Saya difahamkan TNB melalui YTN telah membelanjakan sebanyak RM426 juta dalam Tempoh Pengawalseliaan Kedua (RP2) dari tahun 2018 hingga Julai 2021 untuk pembiayaan penajaan pendidikan biasiswa, pinjaman boleh ubah dan dermasiswa My Brighter Future (MyBF),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada 1 Oktober lalu, Takiyuddin hadir ke Majlis Penganugerahan Biasiswa YTN 2021 secara hibrid di ILSAS.
Turut serta ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din dan Pengarah YTN, Datuk Ir Dr Ibrahim Hussein.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1993, TNB telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion dalam bentuk Dermasiswa MyBF membabitkan RM66 juta, selain biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, penajaan pendidikan oleh TNB sangat bermakna untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama bagi pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Justeru, penerima perlu memanfaatkan sepenuhnya penajaan yang disumbangkan syarikat utiliti elektrik negara itu.
"Inisiatif TNB untuk sentiasa bersama-sama rakyat dalam hal pendidikan ini adalah satu usaha murni yang sarat dengan nilai-nilai keprihatinan demi kesejahteraan negara secara umumnya.
“Ia juga merupakan manifestasi hubungan yang amat bermakna antara rakyat sebagai pelanggan kepada TNB yang kaya dengan falsafah saling memakmurkan di antara satu sama lain,” ujarnya.
Sementara itu, Baharin berkata, TNB percaya bahawa menerusi peluang pendidikan, potensi modal insan akan dapat digilap, seterusnya menyumbang kepada peningkatan tahap hidup rakyat serta pembangunan negara.
“Oleh itu TNB akan meneruskan program 're-engineering' masyarakat ini melalui pendidikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!