WHO lulus vaksin malaria pertama di dunia
GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu meluluskan penggunaan vaksin pertama di dunia bagi menghalang penyakit malaria yang berpunca daripada gigitan nyamuk tiruk.
Penyakit itu menyebabkan lebih 400,000 orang meninggal dunia setahun yang kebanyakannya kanak-kanak Afrika.
Keputusan tersebut dibuat selepas program perintis dilakukan di Ghana, Kenya dan Malawi.
Ketika itu lebih dua juta dos vaksin yang dihasilkan oleh syarikat ubat-ubatan, GSK pada tahun 1987 diberikan dalam program tersebut.
"Selepas menerima bukti daripada negara-negara itu, WHO mencadangkan penggunaan vaksin dikenali dengan nama RTS,S/AS01
secara meluas di dunia," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Menurut WHO, ia mencadangkan kanak-kanak berumur dua tahun di Sub-Sahara, Afrika dan wilayah lain yang terkenal dengan kadar sederhana dan tinggi penyakit tersebut mendapatkan vaksin tersebut.
"Setiap dua minit, seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat malaria," kata WHO.
Menurut angka WHO pada tahun 2019, lebih separuh kematian akibat malaria di seluruh dunia membabitkan enam buah negara di rantau sub-sahara dan hampir suku daripadanya berlaku di Nigeria.
Antara simptom penyakit malaria ialah demam, sakit kepada, sakit otot dan berpeluh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!