Kerugian perbelanjaan pelancongan dijangka meningkat

Anggaran kerugian daripada hasil perbelanjaan pelancong di Malaysia dijangka meningkat kepada RM165 bilion tahun ini. - Foto 123RF
Anggaran kerugian daripada hasil perbelanjaan pelancong di Malaysia dijangka meningkat kepada RM165 bilion tahun ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggaran kerugian daripada hasil perbelanjaan pelancong di Malaysia dijangka meningkat kepada RM165 bilion tahun ini daripada sekitar RM135 bilion pada tahun 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sektor pelancongan telah berhadapan lebih 12 bulan sama ada hanya sedikit perniagaan beroperasi atau ketiadaan operasi selain kehilangan pekerjaan.

"Pelancongan lebih daripada sekadar beriadah kerana industri ini juga penyedia pekerjaan dan pendapatan yang stabil, menyokong satu daripada empat pekerjaan, terutama untuk destinasi yang amat bergantung kepada pelancongan, kawasan terpencil, dan tenaga kerja berkemahiran sederhana atau rendah.

"Walaupun masih terdapat lokasi dengan situasi yang mencabar dari segi kesihatan dan sempadan umumnya ditutup, rantau ini telah mulai dibuka kembali dengan tahap kegiatan operasi pelancongan yang rendah," katanya di Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2021 hari ini.

Nancy berkata, sebelum sempadan dibuka semula, penting untuk bersiap sedia dengan pelan pemulihan dan menyusun strategi agar dapat memperoleh daya saing bagi industri pelancongan, terutama di rantau ASEAN.

"Ini kerana pandangan pasaran mengunjurkan sebaik sempadan dibuka, tumpuan pelancong adalah pada destinasi yang hampir dengan rumah.

"Justeru, penting bagi kita untuk memperkuatkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam memudahkan ekosistem ketibaan antarabangsa," jelasnya.

Menteri itu menambah, Malaysia kini sedang bersiap untuk membuka Langkawi kepada pelancong antarabangsa tidak lama lagi selepas kejayaan gelembung pelancongan domestik Langkawi.

Artikel Berkaitan:

"Gelembung pelancongan domestik di Langkawi mencatatkan kejayaan sejak dimulakan pada 16 Sept 2021 dengan sejumlah 38,748 kedatangan pelancong domestik dan menjana pendapatan RM15.97 juta.

"Malaysia menyasarkan 400,000 ketibaan pelancong domestik ke Langkawi hingga Disember 2021," katanya.

Forum yang bertema 'Membangunkan Semula ASEAN Ke Arah Pemulihan Lestari', dianjurkan oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!