Dadah: 10 ditangkap termasuk kanak-kanak
JOHOR BAHRU - Polis menahan 10 individu termasuk empat kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 6 hingga 12 tahun dalam satu serbuan dadah, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya tidak menolak empat kanak-kanak lelaki dan perempuan itu diguna untuk pengedaran dadah.
"Serbuan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Natkotik di sebuah rumah teres di Taman Pelangi Indah jam 1 pagi tapi kita tak boleh tolak andaian berkenaan penglibatan kanak-kanak ini (dalam pengedaran dadah) atau kebetulan mereka berada di rumah itu.
"Siasatan lanjut akan dijalankan namun kesemua kanak-kanak telah diberi jamin pagi ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Difahamkan seorang kanak-kanak lelaki merupakan anak kepada salah seorang suspek susulan semakan kad pengenalan.
"Kita masih siasat untuk tentukan identiti kanak-kanak ini. Kalau melihat kepada umur mereka sepatutnya masih bersekolah tapi belum ada pengesahan (masih bersekolah atau tidak)," katanya.
Suspek dewasa yang ditahan merupakan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 34 tahun dan tiga wanita tempatan berusia 19 hingga 28 tahun di mana kesemuanya penganggur.
Semakan mendapati tiga daripadanya positif dadah manakala lima daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurut dalam serbuan tersebut polis merampas dadah bernilai RM11,208.24.
"Dadah yang dirampas pelbagai iaitu ganja (504 gram), serbuk putih disyaki dadah (345 gram), heroin (84 gram), syabu (10 gram) dan pil ecstasy (48 biji).
"Kita juga berjaya rampas sepucuk pistol jenis Browning dengan dua kelopak pistol, 60 butir peluru hidup (dua jenis), empat telefon bimbit. Saya percaya ada sepucuk lagi pistol sebab ada dua jenis peluru yang berlainan ditemui," katanya.
Polis turut menyita lapan buah kenderaan pelbagai jenis dan wang tunai RM50,000 dengan jumlah keseluruhan harta yang disita RM625,000.
Kesemua suspek telah direman enam hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!