WMC 2021 ajak umat Islam berselawat
SHAH ALAM - Program World Mawlid Celebration 2021(WMC) bertujuan mengajak umat Islam mengingati ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW melalui selawat dalam usaha menangani pandemik global Covid-19.
Penganjurnya dalam satu kenyataan pada Khamis memberitahu, penganjuran itu juga menggalakkan masyarakat kembali mempraktikkan hakikat beragama tidak sekadar menjadikan ia sebagai ritual semata-mata.
“Salah satu cara terbaik untuk mempraktikkannya ialah mengundang kasih sayang ALLAH SWT dalam kehidupan dengan melazimkan selawat kepada Rasulullah SAW.
“Dalam selawat terhimpun pengampunan, keberkatan dan kesejahteraan yang akan mengangkat segala musibah, membangkitkan kesedaran spiritual dan kesejahteraan rohani selain menyatukan ummah atas nama Rasulullah SAW,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, WMC 2021 merupakan program berbentuk kerohanian yang dianjurkan sejak tahun 2020 hasil titah Perasmian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Kuala Lumpur (KL Summit) 2019 supaya umat Islam kembali bersatu dan membangunkan masyarakatnya.
“Program ini akan berlangsung pada tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW selama 12 jam, bermula petang 12 Rabiulawal 1443H dengan pelbagai program menarik mengenang kembali keperibadian Rasulullah.
“Keseluruhan program akan menghimpunkan sebanyak sejuta selawat dan bakal ditayangkan secara langsung di sosial media tvsufi.com serta rakan kerjasama yang terlibat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!