Kerja selenggara aset kritikal dapat kurangkan gangguan bekalan air

Amirudin (dua dari kanan) mendengar taklimat disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pembanguan I) JPS Selangor, Ir Yuslina Mohd Sani (kanan) dan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud (kiri) selepas sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada Khamis.
Amirudin (dua dari kanan) mendengar taklimat disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pembanguan I) JPS Selangor, Ir Yuslina Mohd Sani (kanan) dan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud (kiri) selepas sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi jaminan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) pada 13 Oktober ini akan mengurangkan berlakunya isu gangguan bekalan air di negeri itu selepas ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja penyelenggaraan itu perlu dilaksanakan selepas tertangguh sejak tahun 2019 lagi susulan daripada beberapa insiden yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, isu gangguan bekalan air di Selangor kebiasaannya berlaku disebabkan tiga faktor iaitu bekalan air mentah tidak mencukupi sewaktu kemarau atau pencemaran, kegagalan LRA berfungsi dan faktor luar kawalan.

"Jadi dengan pelaksanaan kerja penyelenggaraan ini, sudah pasti ia boleh kurangkan gangguan pada masa hadapan," katanya ketika sidang akhbar yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada Khamis.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan 998 di Lembah Klang bakal berdepan gangguan bekalan air berjadual bermula 13 sehingga 16 Oktober susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan itu.

Kawasan terlibat adalah membabitkan daerah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu tidak boleh ditangguhkan berikutan dibimbangi akan memberi kesan lebih buruk terhadap operasi di setiap LRA.

"Ia akan beri kesan gangguan bekalan lebih panjang sebagaimana berlaku pada tahun 2008 dan 2013 lalu di mana kebanyakan LRA ketika itu gagal berfungsi dengan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai perkembangan banjir di Shah Alam, Amirudin berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah segera dengan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM7 juta bagi membuat tambahan pam bagi mengatasi isu terbabit.

Ujar beliau, bagi menyelesaikan isu banjir di Selangor, sebanyak 78 projek telah disiapkan dengan jumlah peruntukan RM425.23 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut memohon RM1.3 bilion untuk menyelesaikan isu banjir secara holistik di kawasan hotspot," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!