Terima gangguan seksual ketika ambil pesanan makanan
SHAH ALAM - Seorang pengguna perkhidmatan penghantaran makanan, e-hailing di Subang Jaya berkongsi situasi mencemaskan apabila mendakwa menerima gangguan seksual daripada seorang penghantar e-hailing.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 23 tahun itu mahu mengambil kek yang dipesan melalui sebuah syarikat penyedia penghantaran e-hailing.
Ketika mahu mengambil pesanan daripada lelaki tersebut, mangsa mendakwa ternampak zip seluar lelaki terbabit terbuka sehingga mendedahkan alat sulitnya.
Pada masa sama, lelaki terbabit didakwa menarik pergelangan tangan kiri mangsa beberapa kali namun mangsa sempat menarik semula tangannya sebelum bergegas masuk ke pejabat.
Mangsa turut berkongsi salinan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian di laman Twitternya.
“Sebab saya buat laporan supaya orang lain tidak akan rasa apa yang saya rasa. Sekarang semua benda nak berteman,” ciapnya di Twitter pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, syarikat penghantaran terbabit menerusi kenyataan di ruang balasan ciapan mangsa memaklumkan tindakan telah diambil terhadap pemandu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!