Lelaki murung hilang di ladang kelapa sawit
TELUK INTAN - Seorang lelaki dipercayai mengalami kemurungan dilaporkan hilang di sebuah ladang kelapa sawit Alor Bakong, Langkap di sini pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Jefri Ismail, 36, disedari hilang oleh isterinya sekitar jam 1 petang selepas mangsa tiada di rumah dan tidak menjawab panggilan telefon.
Pencarian dilakukan sehinggalah salah seorang ahli keluarga menemui motosikal dan telefon bimbit milik mangsa di ladang berkenaan sebelum melaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan sebaik menerima laporan daripada wanita berusia 36 tahun itu pada Rabu.
"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kemurungan sejak bulan lalu dan pernah beritahu selalu terdengar suara bisikan.
"Sejak itu bapa kepada dua anak itu mula bercakap seorang diri di rumah. Sebelum ini, mangsa kelihatan normal sepanjang 12 tahun berkahwin," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, motosikal berkenaan ditemui kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa.
"Ladang kelapa sawit tersebut dianggarkan seluas 80 hektar dan lokasi itu bersambung dengan Hutan Simpan Chikus.
"Usaha mencari digerakkan bersama penduduk kampung di tempat kejadian dan sehingga kini mangsa gagal ditemui," katanya.
Ahmad Adnan berkata, SAR melibatkan 47 pegawai dan anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!