PRN Melaka: Persatuan perubatan bantah jika diadakan waktu terdekat

pilihan raya undi Foto 123RF
pilihan raya undi Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membantah sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam waktu terdekat.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, langkah mengadakan pilihan raya hanya boleh dilakukan apabila negara berjaya sekurang-kurangnya kembali kepada keadaan yang menghampiri normal sebelum pandemik.

Menurutnya, langkah mengadakan pilihan raya pada ketika ini merupakan satu keputusan mementingkan diri khususnya dalam kalangan ahli politik negara memandangkan jumlah jangkitan Covid-19 masih berada di tahap tinggi.

“Ramai yang mengatakan bahawa kita berada dalam keadaan yang menyedihkan sekarang ini kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dahulu telah mencetuskan penularan Covid-19 di Malaysia dengan begitu pantas.

“Walaupun kadar pemberian vaksin Covid-19 rakyat Malaysia berada pada kadar yang tinggi, tetapi jumlah dijangkiti juga masih tinggi. Kes aktif harian sekarang berjumlah ribuan orang dengan kadar kematian harian melebihi seratus.

“Tidakkah ini merupakan angka serius bagi para ahli politik yang berusaha keras hendak mengadakan pilihan raya? Mengadakan pilihan raya negeri sekarang ini adalah seperti ‘keluar dari kuali dan masuk ke dalam api,” tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kar Chai turut menyifatkan pihak yang mahu PRN itu diadakan sudah melupakan jumlah rakyat dan petugas barisan hadapan terkorban dalam usaha mereka untuk menangani Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu.

“Petugas barisan hadapan perubatan telah memerangi wabak ini selama hampir dua tahun. Banyak cuti yang telah dibekukan dan ada sebilangan besar memilih tinggal di luar rumah atau tidak pulang kerana takut terbawa virus itu kepada orang tersayang.

Artikel Berkaitan:

“Kehidupan petugas barisan depan tidak pernah normal dan tidak pernah putus menerima kemasukan pesakit Covid-ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan lain-lain.

“Program vaksinasi sahaja memberi sedikit kelegaan kepada barisan depan yang lelah dan berdedikasi ini,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!