Persatuan belia di Mersing ‘pupus’?
Adun Endau, Alwiyah Talib berkata, perkara itu dapat dilihat jika dibandingkan sekitar 80-an dan 90-an, persatuan belia sangat aktif berbanding sekarang.
“Tak tahu di mana silapnya, persatuan belia seolah-olah macam pupus di Mersing. Boleh dikira dengan jari persatuan yang aktif. Sebab itu saya minta agar persatuan belia di Mersing diaktifkan semula.
"Adakan semula aktiviti sukan bola jaring, bola sepak, takraw dan jugak kesenian seperti zapin pulau, silat buah pukul, ghazal pulau.
“Bukan sahaja menghidupkan kembali persatuan belia ini bahkan secara tidak langsung akan menarik pelancong ke Mersing,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Alwiyah hadir menyempurnakan perasmian Karnival Belia Daerah Mersing 2018 di pekarangan Muzium Mersing, semalam.
Alwiyah berkata, beliau percaya penglibatan golongan muda dengan persatuan belia dapat menghindarkan golongan berkenaan dengan gejala sosial di samping dapat melahirkan belia yang tinggi moral dan akhlaknya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Belia Setia Jaya Kampung Sri Lalang kerana berjaya menganjurkan karnival tersebut.
“Melalui program ini juga jelas dapat dilihat permuafakatan yang baik di antara jabatan kerajaan seperti Majlis Daerah Mersing, pejabat daerah, polis, pejabat kesihatan, Rela dan juga muzium Mersing dalam menjayakan sesuatu program,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sempena karnival itu antaranya, fun ride, persembahan silat, fun run, ghazal, night busker dan juga cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!