Tukang paip, penganggur ditahan

Sepucuk pistol yang dirampas dari suspek.
Sepucuk pistol yang dirampas dari suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua lelaki ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah dan senjata api di sebuah kondominium di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kedua-dua lelaki berusia 36 dan 19 tahun itu ditahan dalam Ops Tapis selepas polis menyerbu bilik di kondominium berkenaan kira-kira jam 1.40 petang.

Menurutnya, ketika ditahan, polis tidak menemui sebarang barang yang menyalahi undang-undang pada tubuh kedua-dua suspek.

"Pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu bekas plastik bertutup yang mengandungi lima paket plastik berisi syabu; satu paket ganja, satu paket heroin dan 10 biji pil WY.

"Turut ditemui, alat penimbang digital dan sebutir peluru hidup jenis 'PMC 45 AUTO' di atas sofa bahagian ruang tamu bilik tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, turut ditemui sebuah beg silang yang mengandungi sepucuk pistol dan kelopak bertulis 'colts government model' yang dibalut dengan sehelai tuala 'good morning'.

"Beg tersebut dijumpai di atas sofa yang sama yang mana, kita turut menjumpai sebuah pasport Malaysia di atas nama suspek pertama di dalam beg tersebut. Kesemua dadah bernilai RM1,090, peluru dan pistol itu dirampas.

"Suspek pertama yang berusia 36 tahun itu berasal dari Butterworth dan sudah berkahwin. Dia yang tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai satu rekod kes dadah dan tiga kes jenayah. Sementara suspek kedua, belum berkahwin dan bekerja sebagai tukang paip.

Artikel Berkaitan:

"Dia yang berasal dari Teluk Kumbar itu mempunyai tujuh rekod kes dadah dan tiada rekod melibatkan jenayah. Ujian saringan dadah ke atas kedua-dua suspek positif morfin dan syabu," katanya.

Che Zaimani berkata, siasatan awal mendapati, kediaman itu adalah sebuah 'homestay' yang mempunyai satu ruang tamu, dua buah bilik dan satu ruang dapur.

"Kedua-dua suspek didapati tinggal di rumah berkenaan sejak empat hari lalu dan menjalankan kegiatan menjual dadah secara kecil-kecilan di kawasan Sungai Nibong di sini

"Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!