Kematian dua kakitangan JPN tidak libatkan suspek lain

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Polis tidak mengesan sebarang bukti membabitkan suspek lain berhubung kematian dua kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dalam kejadian kebakaran rumah di Taman Desa Vista, Salak Tinggi di sini, pada 28 Januari lalu.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, siasatan pihaknya tidak mengesan penglibatan orang ketiga dalam kejadian itu.

Menurutnya, polis buat masa ini sedang menunggu laporan forensik dan kimia untuk membuat analisis bukti fizikal yang ada.

"Melalui siasatan forensik, kita dapati tiada penglibatan individu lain. Namun kita tidak menolak sebarang kemungkinan.

"Kita tunggu pemeriksaan saintifik nanti, sekiranya ada kita akan maklum. Sehingga kini tiada penglibatan pihak ketiga," katanya kepada pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Tambahnya, tiada bukti-bukti menjurus ke arah kejadian pecah rumah dan lain-lain kes, namun ia hanya menjurus kepada kejadian bunuh dan hanya dua mangsa ini sahaja terlibat.

Katanya, bagaimanapun, motif awal masih dalam siasatan dan polis telah pun merakam keterangan jiran serta rakan sekerja mangsa terbabit untuk membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Artikel Berkaitan:

Kes bunuh, bakar: Mangsa bakal berkahwin Jumaat ini

Kes bunuh bakar: Dalam rumah ada basikal kecil

Kes bunuh, bakar: Polis sudah rakam keterangan ahli keluarga, rakan

Terdahulu, dalam kejadian itu, kebakaran kira-kira jam 1 petang itu melibatkan sebuah rumah teres kelas A.

Insiden melibatkan dua orang mangsa, mangsa pertama seorang lelaki yang berada dalam bilik air ketika kebakaran manakala mangsa kedua seorang wanita berada di atas katil.

Mangsa itu dikenali sebagai Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, kedua-duanya penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Susulan itu, hasil bedah siasat, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!