11 pemain Malayan Tigress ditawarkan pengajian ke IPTA
SERAMAI 11 pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan bakal melanjutkan pengajian mereka ke menara gading selepas menerima surat tawaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada Khamis.
Seramai sembilan pemain diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala dua lagi ditawarkan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sembilan pemain yang ditawarkan ke UPNM ialah Nurul Azurin Mazlan, Eva Olivianie Antinus, Waitie Taming, Nurfatin Rozani, Henrietta Justine, Nur Syafinaz Abdul Rajak, Felicia Loudea Thomas, Nor Ezza Ashikin dan Nurul Arliana Nabila Mohamad Ramadhan manakala Nuralyaa Natasha Zulkefli dan Grace Handirian ditawarkan ke UiTM.
Surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi 2021 itu disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada satu majlis di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.
Majlis itu turut disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalan, Datuk S. Sivasundaram serta Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob dan timbalannya, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.
Sementara itu, Suraya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana telah membuka peluang kepada pemain bola sepak wanita kebangsaan untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang pengajian tinggi.
"Kerjasama antara FAM dan KPT yang terjalin hari ini jelas menunjukkan betapa pendidikan memainkan peranan besar dalam karier seorang pemain bola sepak. Menerusi inisiatif ini, kita dapat menghargai jasa serta sumbangan pemain-pemain ini yang telah memerah keringat demi mengharumkan nama negara.
“Semoga barisan pemain yang menerima tawaran menyambung pengajian pada hari ini dapat menimba pengalaman serta dapat menamatkan pengajian sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau pada masa sama berharap kerjasama dengan KPT itu dapat mendorong masyarakat terutama golongan ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak menceburi sukan berkenaan yang kini dapat membuka peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Dalam pada itu, Henrietta yang bakal mengikuti program Diploma Kecergasan Pertahanan berbesar hati dan menghargai peluang diberikan KPT serta FAM untuk menyambung pelajaran di UPNM selain berharap ia dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan masing-masing.
Kesemua 11 pemain itu sebelum ini mewakili negara bagi saingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, bulan lepas namun gagal melayakkan diri ke pusingan akhir di India, Januari depan selepas dibelasah 0-4 oleh Thailand sebelum bangkit mencatat kemenangan 2-0 ke atas Palestin.
Malaysia mengakhiri saingan kumpulan H di tempat kedua dan hanya juara kumpulan layak ke India. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!