Sultan Johor kesal kejadian pengemudi bot khayal dadah

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya di bawah pengaruh dadah.

Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis, baginda melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu.

“Saya rasa kesal dengan kejadian yang berlaku betul-betul di depan mata saya.

“Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya dekat jeti Pulau Rawa. Saya arahkan pihak polis menahan bot tersebut yang di dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti ‘island hopping’,” titah baginda.

Baginda turut mengarahkan semua agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.

“Setelah pihak polis buat penahanan dan siasatan lanjut, jelaslah tindakan mereka memandu bot dengan tidak tentu arah kerana kesan pengaruh dadah.

“Ambillah tindakan tegas termasuk membatalkan lesen pemandu dan rampas bot yang tidak mengikut peraturan.

“Perkara seperti ini sangat memalukan industri pelancongan negeri Johor. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, media melaporkan dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak ditahan selepas dipercayai positif dadah ketika membawa penumpang menaiki pengangkutan air itu secara merbahaya.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, tangkapan dilakukan pada jam 10 pagi selepas polis menahan sebuah bot pelancong berukuran 7.9 meter panjang dan 1.8 meter lebar itu di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!