Ditipu syarikat pinjaman 'jadian'
KUALA TERENGGANU - Pengaruh iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook menyebabkan seorang pembantu operasi kerugian hampir RM3,000 selepas ditipu sebuah syarikat pinjaman tidak wujud.
Menurut sumber, ia bermula ketika lelaki berusia 57 tahun dari Kampung Losong Dato Amar, di sini, melihat iklan berkenaan di Facebook.
"Tertarik dengan tawaran diberi, mangsa terus menghubungi nombor diiklankan dan berurusan dengan seorang lelaki untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan pinjaman tersebut.
"Selepas mendengar penjelasan, mangsa berminat membuat pinjaman RM10,000 dan sepanjang proses permohonan pinjaman tersebut, mangsa hanya berurusan dengan lelaki berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp," katanya.
Sumber berkata, mangsa ada melakukan beberapa transaksi pembayaran ke satu akaun bank tempatan yang diberikan suspek berjumlah hampir RM3,000 hanya dalam tempoh sehari iaitu pada 26 Febuari lalu.
"Mangsa berbuat demikian selepas diarahkan membuat pembayaran faedah komisen 20 peratus sejurus membuat permohonan pinjaman tersebut.
"Suspek berjanji duit pinjaman akan terus dimasukkan ke dalam akaun mangsa sebaik sahaja selesai membuat bayaran faedah komisen ditetapkan.
"Tetapi, setelah membuat pembayaran seperti diarahkan, mangsa masih tidak menerima duit dijanjikan meskipun sudah dua hari berlalu," katanya.
Mangsa cuba menghubungi lelaki berkenaan namun talian sudah disekat, yakin dirinya sudah ditipu mangsa terus membuat laporan polis pada 28 Febuari lalu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!