PKR harap KSN teliti arahan buli terhadap mantan wakil rakyat
PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap Ketua Setiausaha Negara (KSN) dapat meneliti arahan di peringkat negeri supaya tidak ada arahan membuli, menghukum dan bertindak secara tidak adil kepada mantan wakil rakyat.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua mantan wakil rakyat iaitu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad bagaimana mereka diperlakukan di Melaka.
Beliau berkata, keadaan mereka ketika ini ibarat 'enemy of the state'.
"Saya ingin tegaskan PKR berpegang kepada prinsip keadilan kalau pembubaran itu berlaku, maka sewajarnya tidak ada lagi mana-mana wakil rakyat atau exco yang terus menggunakan fasiliti kerajaan dan janganlah layan mantan wakil rakyat ini sebagai 'enemy of the state' kerana kita tahu ini merupakan prinsip manusiawi.
"Kita harus ikut, hormat dan jangan anggap mereka tidak ada langsung jasa kepada kerajaan Melaka.
"Tentunya saya harap, KSN dapat meneliti arahan di peringkat negeri ini, supaya jangan ada arahan yang membuli, menghukum dan bertindak secara tidak adil, terutama kepada mantan exco dan mantan wakil rakyat," katanya dalam sidang media pada Khamis.
Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Noor Effandi serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lepas susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan iaitu bekas Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Dalam pada itu, Norhizam berkata, antara bentuk pembulian terhadap wakil rakyat adalah di mana mereka dikehendaki memulangkan semula kenderaan rasmi dan pusat khidmat masyarakat.
"Tidak adilnya apabila tiga antara exco ini terpaksa memulangkan kereta rasmi dan juga pusat khidmat masyarakat.
"Enam (exco) lagi boleh bebas seperti biasa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!