PKR tolak PRN Melaka, mohon TYT semak keputusan bubar DUN
KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertegas dengan keputusan untuk tidak mempersetujui Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dengan keadaan negara yang berdepan pandemik Covid-19 masa ini, maka amat tidak sesuai untuk diadakan PRN.
"Dalam keadaan ini kita mencari jalan penyelesaian yang berlaku di Melaka, kita tak mahu adakan PRN dan kita juga tidak bersetuju dengan darurat, perlu ada satu penyelesaian.
"Itu juga tidak menghalang kita untuk memfailkan semakan atau gunakan mahkamah untuk menyemak keputusan (pembubaran) yang begitu tergesa-gesa,” katanya pada satu sidang media di sini malam tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad.
Shamsul Iskandar berkata, sedangkan pertukaran Perdana Menteri yang lepas pun tidak melibatkan pilihan raya diadakan, apatah lagi dengan situasi yang berlaku di Melaka.
Merujuk Perlembagaan Negeri Melaka, beliau mendakwa, tiada sebarang klausa atau peruntukan yang tidak membenarkan Yang Dipertua Negeri untuk menarik balik pembubaran DUN itu.
"Kemungkinan ada elemen yang memungkinkan ada ruang untuk pihak Tuan Yang Terutama menilai semula dan mengkaji semula keputusan itu kerana ini perkara yang tak pernah berlaku,” katanya.
Sementara itu Wanita Perikatan Nasional (PN) berkata, PRN Melaka tidak sesuai diadakan ketika negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Wanita PN menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan, walaupun negara kini sudah hampir mencapai sasaran imunisasi 90 peratus golongan dewasa, namun risiko jangkitan dikhuatiri meningkat jika ratusan ribu rakyat Melaka keluar mengundi.
"Proses pemulihan negara dan Melaka sedang berjalan lancar dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan PN sebelum ini yang dipimpin oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini sudah mula menampakkan hasil positif," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh; Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Evelyn Gobile; Ketua Wanita Parti Maju Sabah (SAPP), Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan, Janice Wong Oi Foon.
Bagaimanapun, Wanita PN bersedia untuk menghadapi PRN dengan mengikut Prosedur Operasi Standard yang ketat dan bersesuaian.
Selasa lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 dan satu PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.
Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lepas susulan tindakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!