Harga baharu kit ujian Covid-19 dimuktamad November

kit ujian Covid-19. - Foto 123rf
kit ujian Covid-19. - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan satu paras harga baharu kit ujian kendiri Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu akan dilaksanakan selepas beberapa faktor diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.

"Kerajaan telah menerima maklum balas dari industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan mencukupi dan berterusan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, KPDNHEP sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian kendiri seperti pasar raya.

"Sudah ada premis yang bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pembukaan penjualan kit ujian pantas oleh pasar raya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.

"Kementerian juga akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas selain daripada farmasi dan klinik," katanya.

Alexander berkata, terdapat lebih kurang enam juta kit ujian kendiri telah berada dalam pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September lalu turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian kendiri memberikan kerjasama.

"Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!