Brazil terus terajui aksi kelayakan Piala Dunia
JUARA Piala Dunia lima kali, Brazil terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan bagi aksi kelayakan Piala Dunia CONMEBOL, apabila menewaskan pasukan pada kedudukan tercorot ketika ini, Venezuela, 3-1, di Stadium Olimpik UCV, Caracass, pada Jumaat.
Beraksi tanpa kelibat Neymar dan juga Roberto Firmino, jentara serangan skuad Selecao itu dilihat agak bergelut untuk melepasi benteng pertahanan Venezuela.
Bagaimanapun, skuad kendalian Tite itu akhirnya berjaya menghasilkan jaringan menerusi pemain pertahanan Marquinhos pada minit ke-71, Gabriel Barbosa (min-85, penalti) dan pemain gantian Antony menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan bagi melengkapkan kemenangan.
Kemenangan itu menyaksikan Brazil terus gah pada kedudukan teratas dengan 27 mata daripada sembilan perlawanan manakala Venezuela terus terperosok pada kedudukan tercorot dengan hanya meraih empat mata daripada 10 perlawanan.
Brazil bakal berdepan Colombia manakala Venezuela bakal berdepan Ecuador bagi aksi kelayakan seterusnya pada 11 Oktober ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!