Operasi pematuhan SOP Covid-19 sentiasa dijalankan: Arjunaidi
SHAH ALAM - Polis Selangor sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, operasi dan nasihat akan sentiasa diberikan kepada masyarakat sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19.
"Ketika ini, pasukan pematuhan SOP Covid-19 sentiasa melaksanakan operasi di sekitar kawasan tumpuan bagi memastikan SOP dipatuhi oleh masyarakat.
"Operasi yang kita jalankan bersifat jangka masa panjang, jadi dalam soal ini, masyarakat juga harus bertanggungjawab menjaga diri masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Prihatin Pelajar Yatim Piatu Covid-19 Selangor di Dewan Utama IPK Selangor, di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai jumlah kompaun, katanya, setakat ini sebanyak 50 hingga 60 kompaun dikeluarkan dalam sehari atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP.
Sementara itu, mengenai aktiviti rentas negeri yang akan diumumkan kerajaan, Arjunaidi berkata, pihaknya akan menunggu terlebih dahulu pengumuman tersebut dikeluarkan.
"Kita akan tunggu pengumuman daripada kerajaan, dan akan melihat apa yang diumumkan, dari situ kita akan melaksanakan strategi untuk menentukan pematuhan SOP yang berkaitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!