11 pasar tani di seluruh Terengganu mula beroperasi
HULU TERENGGANU - Sebanyak 11 buah pasar tani melibatkan 326 peserta di Terengganu telah memulakan operasi secara berperingkat bermula antara 7 Julai sehingga 8 Oktober 2021.
Antara Pasar Tani yang telah beroperasi ialah Pasar Tani Padang Hiliran dan Permint Jaya di Kuala Terengganu; Pasar Tani Kuala Besut, Jertih, Alor Lintang dan Kampung Raja di Besut; Pasar Tani Chukai dan Pantai Penunjuk di Kijal, Kemaman; Pasar Tani Kuala Berang dan Kuala Ping di Hulu Terengganu serta Pasar Tani Masjid Intan Zahrah di Dungun.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, proses pembukaan Pasar Tani berkenaan dilakukan secara berperingkat degan mengambil kira situasi semasa Covid-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh peniaga dan pengunjung di lokasi berkenaan.
Katanya, beliau menjangkakan jumlah pengunjung di pusat jualan itu akan meningkat sekiranya proses vaksinasi berjalan lancar dan negeri itu telah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Kita jangka lokasi perniagaan di pasar tani dapat menarik lebih ramai pengunjung jika proses vaksinasi berjalan lancar dan negeri ini telah memasuki Fasa Empat PPN.
"Peningkatan jumlah pengunjung akan memberi impak positif kepada peniaga-peniaga untuk meningkatkan sumber pendapatan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Walkabout Pasar Tani Kuala Ping, di sini pada Jumaat sempena sambutan Ulang Tahun ke-56 FAMA.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat.
Dalam pada itu, Che Ghani Che Wan berkata, FAMA turut bersedia untuk berdepan dengan fasa peralihan musim tengkujuh yang berlaku saban tahun di negeri berkenaan.
Katanya, outlet peruncitan yang berperanan sebagai pusat pemasaran 'one stop centre' akan beroperasi seperti biasa bagi membantu memasarkan hasil pertanian pada musim tengkujuh.
"Kita ada kira-kira 140 lagi outlet peruncitan yang diusahakan oleh usahawan seperti Agrobazaar, My Farm Outlet serta beberapa lagi outlet lain yang akan membekalkan hasil pertanian pada musim tengkujuh.
"Kita jangka tiada pengurangan hasil pertanian yang drastik disebabkan lokasi tanaman dinaiki air kerana kita masih mempunyai bekalan dari luar malah peniaga juga telah membina jaringan perniagaan dengan pemborong-pemborong dari luar untuk bawa masuk bekalan sekiranya berlaku pengurangan di negeri ini,"katanya.
-ENDS-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!