Waspada fenomena air pasang besar

Daroyah (tengah) membuat tinjauan bersama pegawai Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa di beberapa kawasan yang terjejas pada Jumaat. -Foto: Facebook Daroyah Alwi
Daroyah (tengah) membuat tinjauan bersama pegawai Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa di beberapa kawasan yang terjejas pada Jumaat. -Foto: Facebook Daroyah Alwi
A
A
A

SEMENTA - Penduduk pesisir pantai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa digesa lebih berhati-hati dalam menghadapi sebarang kemungkinan kesan fenomena air pasang besar.

Saranan itu dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi walaupun bagi penduduk setempat fenomena itu adalah perkara biasa bagi kebanyakan mereka.

Menurutnya, fenomena air pasang besar adalah fenomena berlaku pada tarikh tertentu pada setiap tahun khususnya di kawasan pantai menjelang September, Oktober dan November.

Beliau berkata, apabila berlaku air pasang besar, ketinggian ombak boleh mencecah sehingga 5.8 meter seperti yang berlaku pada awal pagi Jumaat apabila ombak mencapai ketinggian 5.86 meter.

"Ban sedia ada adalah pada ketinggian 5.5 meter sahaja dan apabila berlaku fenomena air pasang besar, air laut akan melimpah dan melepasi ban sepanjang tepi laut di daerah Klang terutama di DUN Sementa.

"Walaupun fenomena ini disifatkan sebagai fenomena biasa, namun penduduk setempat harus berhati-hati untuk sebarang kemungkinan terutama kepada penduduk di pesisir pantai kawasan DUN Sementa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas membuat tinjauan bersama pegawai Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa di beberapa kawasan yang terjejas pada Jumaat.

Dr Daroyah turut bertanyakan situasi semasa kepada nelayan di Pengkalan Sayang D’Sayang yang memaklumkan mereka sudah membuat persiapan awal dalam menghadapi fenomena itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Daerah Klang bagi berkongsi pandangan dan perkembangan semasa yang berlaku.

"Saya diberi taklimat oleh pegawai LKIM Daerah Klang. Beliau turut menasihati para nelayan yang turun ke laut juga perlu berjaga-jaga dan mengambil berat soal keselamatan seperti sentiasa memakai jaket keselamatan.

"Sebaiknya para nelayan dinasihatkan membuat perancangan terlebih dahulu sebelum turun ke laut berikutan fenomena air pasang besar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!