Padah bergaduh dengan teman lelaki kakak
BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki parah selepas bergaduh dengan teman lelaki kakaknya dalam kejadian yang berlaku di Taman Seri Kijang, di sini pada malam Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut, betis dan pergelangan tangan selepas ditikam dan dikelar suspek.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pergaduhan dipercayai kerana mangsa tidak menyukai teman lelaki kakaknya itu tinggal di rumah mereka.
"Mangsa tidak menyukai suspek yang menumpang di rumah mereka dan pada malam kejadian, berlaku pertengkaran.
"Suspek yang berusia 20 tahun telah mengambil parang dan rotan sebelum menyerang mangsa, mujur ketika kejadian ayah mangsa berada di rumah dan berjaya meleraikan pergaduhan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
Nik Ros Azhan berkata, ayah mangsa berjaya menahan lelaki yang menyerang anaknya dan menyerahkan kepada polis.
Polis turut merampas parang serta rotan yang diguna bagi mencederakan mangsa.
"Berdasarkan siasatan, parang dan rotan itu dibawa suspek dari rumahnya di Parit Buntar, Perak kerana mangsa dikatakan telah beberapa kali cuba memukulnya.
"Mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut berikutan kecederaan parah yang dialaminya," katanya.
Difahamkan, remaja itu mengalami kecederaan luka kelar di bawah perut sebelah kanan sepanjang 10 sentimeter (sm) dengan ke dalam kira-kira dalam 2sm, luka yang dalam di betis kanan dan luka dalam di pergelangan tangan kiri.
Nik Ros Azhan berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!