Isu Ziyad: Siasatan mungkin selesai hujung bulan
SIASATAN dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini dijangka selesai hujung bulan ini.
Pengerusi jawatankuasa siasatan itu, Tan Sri Borhan Dolah berharap siasatan itu dapat diselesaikan dengan segera bagi merungkai persoalan sebenar yang membelenggu Muhammad Ziyad pada temasya sukan berprestij itu.
Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam memaklumkan kesemua 10 individu dikenal pasti termasuk Muhammad Ziyad, jurulatihnya Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dijangka dipanggil ke mesyuarat jawatankuasa di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya, pada Isnin dan Selasa depan.
“Saya tidak jamin siasatan akan selesai minggu depan namun ia dijangka mencapai tahap 80 hingga 90 peratus dengan bakinya mungkin bergantung sama ada terdapat individu tambahan yang mungkin dipanggil selepas ini atau sebaliknya. Mungkin selesai hujung bulan ini.
“Senarai dipanggil mungkin lebih daripada 10 individu seperti yang dikenal pasti setakat ini, namun terpulang kepada mereka yang dikehendaki hadir itu untuk memaklumkan jika terdapat nama baharu yang boleh membantu siasatan dan sekiranya ada kami akan panggil,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Beliau memberitahu, jawatankuasa bermesyuarat buat kali pertama di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Selasa lepas, membincangkan mengenai strategi serta skop siasatan selain mengenal pasti individu dikehendaki hadir untuk membantu pihaknya mendapat bayangan sebenar detik hitam melanda dunia sukan negara pada hari ketujuh temasya di Stadium Olimpik Tokyo itu.
Ditanya sama ada pihaknya telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Olimpik Tokyo daripada penganjur Sukan Paralimpik Tokyo mengenai situasi sebenar di venue pertandingan, beliau mendedahkan belum berbuat demikian kerana masih menanti video berkenaan daripada pihak terlibat.
Sementara itu, Borhan memberi jaminan siasatan yang dijalankan bebas daripada ‘tangan-tangan ghaib’ waima KBS sekalipun dalam menentukan syor atau tindakan sepatutnya diambil untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Sekiranya terdapat hujah kuat yang mengatakan kita boleh menang emas, kita akan syorkan apa tindakan yang boleh diambil KBS.
“Jika hujah itu tidak kuat, kita akan beri cadangan penambahbaikan kepada kontinjen negara bagi memastikan kes berkenaan tidak berulang pada masa depan...kesemuanya terserah kepada KBS untuk menentukan tindakan seterusnya termasuk mahu membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau sebaliknya,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang hasil dapatan siasatan akan dirahsiakan terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada KBS selain memaklumkan akan berjumpa dengan menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menerangkan dengan lanjut siasatan dijalankan selepas ia selesai.
Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan di Tokyo itu.
Pemenang emas Rio 2016 itu diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start’ (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34 m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!