'Tak rasional salahkan UMNO, YB Bersatu, Bebas turut terlibat'
SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan propaganda mahu menyalahkan UMNO di sebalik apa yang berlaku di Melaka sebagai tidak rasional kerana wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bebas turut terlibat.
Menurutnya, secara tepat, seramai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO, Bersatu dan Bebas terlibat dalam apa yang berlaku di Melaka.
“Secara harfiah (literally), apa yang terjadi disebabkan masalah dalaman di Melaka dan ia melibatkan wakil rakyat daripada beberapa parti yang diketahui.
“Bagaimanapun seperti kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas berjumpa dengan ahli UMNO di Melaka, nasi sudah menjadi bubur,” katanya menerusi tulisan di Facebooknya pada Jumaat.
Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Sulaiman.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebaiknya diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, walaupun langkah terbaik untuk menangani kemelut di Melaka dengan mengadakan PRN, namun masih perlu mengambil kira faktor lain.
“Sehingga sebarang pilihan raya mungkin diumumkan oleh SPR, Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) akan berfungsi dalam bentuk ‘caretaker government’,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu bersiap siaga mengharungi PRN Melaka jika itu ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!