HSN bantu KKM capai Agenda Nasional Malaysia Sihat

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin -Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) pada Jumaat menjayakan aktiviti bersukan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menerajui aktiviti bersukan itu berkata misi HSN adalah membudayakan sukan dalam kalangan rakyat sebagai satu gaya hidup yang secara langsung membantu agenda yang diperjuangkan KKM iaitu Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Beliau berkata, KKM sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada kesihatan awam perlu menjadi contoh kepada kementerian lain dan rakyat mengenai gaya hidup sihat.

"Gaya hidup sihat bukan sahaja bersukan tetapi menjaga pemakanan, rehat yang mencukupi serta menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala dalam menggalakkan rakyat jelata mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

HSN 2021 peringkat KKM itu dilaksanakan secara hibrid dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) antaranya melibatkan aktiviti 'combat wellness' dan larian maya.

Majlis pelancaran HSN 2021 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya esok.

Khairy berkata, HSN dapat diadakan pada tahun ini kerana situasi pandemik Covid-19 yang semakin pulih. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!