Isteri harap suami hilang segera ditemui

Mior Faridalathrash (kanan) meninjau kawasan operasi SAR di Langkap.
Mior Faridalathrash (kanan) meninjau kawasan operasi SAR di Langkap.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang wanita berharap suaminya yang hilang segera ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di ladang kelapa sawit di Kampung Alor Bakong, Langkap di sini.

Jefri Ismail, 36, dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Selasa lalu dan sering mengadu mengenai perasaan tertekan dengan mendakwa terdengar bisikan.

Nurhayati Mohd Nusin, 36, berkata, dia menyedari kelainan pada kelakukannya suaminya itu beberapa minggu lalu kerana sering menangis dan bercakap sendirian.

"Saya merancang membawanya mendapatkan rawatan pada hari kejadian tetapi tidak sempat apabila dia pula hilang setelah saya pulang dari tempat kerja.

"Kami cuba mencari hingga jumpa motosikal dan barang peribadi di ladang kelapa sawit. Saya yakin, suami tidak pergi jauh dan dia berada di kawasan itu lagi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurutnya, mereka melakukan pelbagai kaedah termasuk secara tradisional sebagai alternatif lain untuk mengesan suaminya itu.

"Sudah masuk empat hari, saya dan anak-anak berasa bimbang keadaannya. Saya sendiri dua kali turun mencarinya dalam ladang itu.

"Ahli keluarga lain turut berikhtiar mengadakan solat hajat agar operasi pasukan penyelamat dapat dipermudahkan sekali gus suami dapat ditemui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tiada petunjuk ditemui dalam SAR yang dijalankan melainkan motosikal milik mangsa di ladang berkenaan.

"Operasi terdiri daripada polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pencarian kira-kira 10 kilometer radius.

"Hasil pencarian itu, terdapat sebuah perkampungan Orang Asli Sungai Pelawan, kami minta anggota untuk cari dan bertanyakan penduduk di sana sekiranya ternampak mangsa," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak bercadang menamatkan operasi itu dan ia diteruskan sehingga mangsa ditemui.

Katanya, penduduk kampung yang tahu selok belok kawasan itu dibenarkan untuk terlibat sama membantu mencari mangsa.

Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipercayai mengalami kemurungan dilaporkan hilang di sebuah ladang kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap di sini pada Selasa.

Bapa kepada dua anak berusia 10 dan 14 tahun itu disedari hilang oleh isterinya sekitar jam 1 petang selepas mangsa tiada di rumah dan tidak menjawab panggilan telefon.

Pencarian dilakukan sehingga salah seorang ahli keluarga menemui motosikal dan telefon bimbit milik mangsa di ladang berkenaan sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!