Polis Perak tambah bilangan pasukan pemantau patuh SOP
TELUK INTAN - Polis Perak akan menumpukan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan-kawasan pelancongan dan tumpuan ramai susulan kebenaran beroperasi beberapa aktiviti pelancongan di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya bercadang untuk menambah bilangan pasukan pemantau bagi memastikan SOP di destinasi terlibat dapat dipatuhi sepenuhnya.
Menurut beliau, sebanyak 330 pasukan pemantau pematuhan SOP melibatkan semua elemen rondaan telah digerakkan di seluruh negeri.
"Tumpuan kita lebih kepada pematuhan SOP dengan pasukan itu menjalankan pemeriksaan dan kawalan di lokasi-lokasi tumpuan ramai.
"Kita akan tambah (pasukan pemantau) seperti yang akan diumumkan kerajaan negeri. Kalau Pulau Pangkor buka esok, kita akan tambah keanggotaan di sana.
"Begitu juga dengan Taman Negeri Royal Belum dan rumah bot yang dibuka pada Jumaat, saya akan minta Ketua Polis Daerah Gerik untuk pantau lokasi tersebut," katanya ketika ditemui selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) lelaki dilaporkan hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap di sini pada Jumaat.
Mior Faridalathrash berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk menutup sekatan jalan raya (SJR) antara daerah minggu hadapan.
Katanya, penutupan SJR itu akan membolehkan pihaknya memberi tumpuan kepada pasukan pemantau pematuhan SOP.
"Hampir 90 peratus populasi dewasa di negara ini akan lengkap menerima vaksinasi, jadi kita tunggu pengumuman kerajaan.
"Di pihak polis, kita dipertanggungjawab untuk menjalankan pemantauan terutama berkaitan SOP. Itu yang paling penting," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak tindakan tegas akan diambil.
Sinar Harian melaporkan aktiviti pelancongan di Tasik Temengor dan Taman Negeri Royal Belum kembali dibuka setelah hampir 19 bulan sektor itu terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Tourism Perak Management Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengusaha produk pelancongan kini dapat dapat menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi semula bermula pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!