PDRM pandu uji BMW M3, BMW X3, Volkswagen Tiguan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang memandu uji lima unit kenderaan jenis BMW dan Volkswagen untuk kegunaan beberapa jabatan selama dua minggu bermula Khamis.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Dalam Negeri (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, proses pandu uji tersebut adalah di peringkat pembuktian konsep (POC) tanpa sebarang perjanjian.
"Tempoh uji cuba selama dua minggu melibatkan kenderaan model BMW M3, BMW X3, dan Volkswagen Tiguan.
"Kenderaan tersebut akan digunakan oleh Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, (JSPT) dan Cawangan Pengiring PDRM," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Hazani berkata, pandu uji tersebut dijalankan hanya untuk menguji kesesuaian kenderaan tersebut dalam menjalankan sebarang tugasan bagi jabatan-jabatan PDRM.
"PDRM sedia maklum akan kekangan kewangan dihadapi oleh kerajaan dan tawaran diberikan oleh syarikat berkenaan adalah atas prinsip hanya untuk uji cuba sebelum sebarang keputusan untuk penggunaan diputuskan oleh PDRM kelak," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!