Bimbang euforia kemenangan gangsa berbanding kepenatan
PEMAIN badminton negara dijangkakan berada dalam prestasi terbaik bagi menghadapi cabaran Piala Thomas dan Piala Uber 2020 bermula Sabtu, cuma beberapa hari selepas tamatnya Piala Sudirman di Vantaa, Finland pada Ahad.
Bagaimanapun Ketua Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann merasakan bahawa selain daripada cabaran fizikal dan kepenatan, adalah lebih penting untuk mereka melupakan soal kemenangan pingat gangsa pada kejohanan berpasukan campuran dengan pemain yang purata umurnya 22 tahun.
Choong Hann juga mengesahkan bahawa majoriti pemainnya bebas daripada kecederaan dan akan dapat memberikan prestasi terbaik, kecuali pemain beregu wanita Pearly Tan, yang masih lagi diperiksa kerana merasa tidak selesa pada lengannya.
“Saya percaya pemain mempunyai masa yang cukup untuk pulih semula selepas menyamai pencapaian terbaik di Piala Sudirman (yang menyamai pencapaian edisi 2009 di Guangzhou, China.)
“Dari segi fizikal, saya percaya mereka mampu mengatasinya selagi mereka dapat pulih secara mentalnya kerana kebanyakan pemain beraksi di pentas tertinggi buat kali pertama. Mereka harus belajar mengendalikan situasi seperti ini,” katanya ketika sesi latihan rasmi di Ceres Arena di sini.
Berikutan penarikan diri England dari Piala Thomas, Choong Hann mengakui bahawa para jurulatih kini merancang semula bagi memutuskan untuk memberikan peluang kepada pemain muda untuk pendedahan atau memberikan pemain utama bermain bagi membina momentum pada perlawanan menentang Kanada pada Selasa (12 Oktober).
Turut berada dalam Kumpulan D ialah pemenang tempat kedua Jepun, yang atas kertas lebih kuat berbanding pasukan muda negara, walaupun ketua pasukannya dan pemain nombor satu dunia Kento Momota masih mencari prestasinya.
“Kerana kita punya perlawanan lama lagi, kita juga kena uruskan jadual latihan sebab selalunya dalam minggu pertandingan, gelanggang dan latihan ada kesulitannya...Kita akan menggunakan pasukan sains sukan kita dalam membantu jurulatih kita untuk merancang program latihan yang secukupnya, supaya pemain-pemain tersedia dalam tahap optimum.
“Saya rasa kita akan fokus kepada latihan pasukan kita, selain cuba membawa pemain muda belajar sambil menikmati suasana perlawanan-perlawanan yang unggul di antara pemain-pemain dan negara-negara tertentu,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan meletakkan pasangan baharu untuk bermain.
Bekas pemain nombor satu dunia itu memuji persiapan oleh penganjur, dan tidak begitu risaukan dengan penyokong tuan rumah ketika pertemuan pada Piala Uber pada hari pembukaan (9 Oktober), kerana mereka lebih ‘senyap’ berbanding dengan peminat Malaysia dan Asia.
Namun demikian beliau berkata, faktor penonton telah dibincangkan oleh jurulatih selain mengadakan latihan dalam situasi pertandingan untuk pemain bersedia menghadapi situasi tersebut.
Mengimbau kembali pada ketika beliau bermain di Terbuka Denmark, Choong Hann juga berkongsi, keadaan dewan yang sama juga seperti di Eropah, di mana ia lebih kecil berbanding di Asia yang akan memberikan keadaan lebih baik antara pemain dan bulu tangkis.
“Daripada perspektif profesional, dewan ini lebih senang untuk bermain kerana bunyi bulu tangkis terbang itu dan pantulan bunyi lebih enak di telinga, rasa lebih senang untuk menghayatinya. Bagaimanapun para pemain perlu membiasakan diri dengan atmosfera dan ‘drifting’,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!