MWA gesa penyelarasan tarif air, pembetungan
SHAH ALAM - Persatuan Air Malaysia (MWA) menggesa supaya pelaksanaan segera penyelarasan tarif air dan pembetungan yang adil dan telus di seluruh negara.
Presidennya, Dr Ir Mohmad Asari Daud berkata, semakan melalui Mekanisma Penetapan Tarif (TSM) adalah bagi memastikan industri air mampan dan dapat ditingkatkan tanpa membebankan pengguna.
Katanya, melalui penyelarasan tarif, industri ini akan mampu untuk keluar dari belenggu kewangan yang menyekat peningkatan tahap perkhidmatan diberikan.
“MWA dimaklumkan tentang hasil sesi konsultansi awam yang dilaksanakan oleh operator air di beberapa negeri bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara menunjukkan kesediaan rakyat membayar lebih sekiranya tahap perkhidmatan berada pada tahap lebih baik dari sekarang.
“Penemuan ini adalah penting supaya penyelarasan tarif tidak akan menimbulkan bebanan tidak wajar kepada pengguna domestik yang menggunakan air hanya untuk keperluan asas.
“Namun bagi pengguna yang kurang berhemah dan menggunakan air secara boros dan berlebihan, tarif yang lebih tinggi perlu ditetapkan sebagai "deterrent" kepada amalan membazir ini.
“Pengguna komersil di beberapa negeri pada masa ini hanya membayar amaun yang terlalu minimum berbanding keuntungan dari perniagaan mereka, lebih-lebih lagi pengguna komersil yang menjadikan air sebagai bahan mentah dalam perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, keadilan yang menjadi teras penyelarasan tarif dalam TSM baru diharap dapat dilaksanakan sebaiknya demi kelestarian industri perkhidmatan air di negara kita ini.
MWA berharap pelarasan tarif ini dilaksanakan secara paling efektif dan tidak membebankan rakyat yang baru sahaja keluar dari pandemik Covid-19 supaya penambahbaikan dalam amalan sedia ada dapat dilaksanakan.
“MWA faham bahawa terdapat beberapa negeri yang mana tarifnya tidak pernah di selaras sejak tahun 1980an. Hal ini adalah tidak adil bagi operator yang telah mengalami beberapa kali kenaikan tarif elektrik sejak tarif air lama digunakan.
“Ini ditambah lagi dengan kenaikan harga bahan mentah dan kadar inflasi,” ujarnya.
MWA juga mengalu-alukan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 yang menekankan kepada peningkatan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi sumber sedia ada dan pengujudan peluang pekerjaan baru melalui transformasi sektor air.
Menurutnya, tambah nilai tadbir urus sektor air melalui pemerkasaan penglibatan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah ruang baru yang ditawarkan oleh kerajaan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.
“Adalah diharap semangat ini dapat diterjemahkan dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan, penurunan kadar penggunaan air dan pembaziran, pengurangan kadar kehilangan hasil air (NRW) dan peningkatan pelaburan dan daya saing di dalam sektor bekalan air dan pembetungan setanding pembekal utiliti lain seperti tenaga dan telekomunikasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!