Ayuh bangkit Harimau Malaya

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

PERTAHANAN longlai serta kesilapan mudah menggusarkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi terakhir siri persahabatan antarabangsa berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, malam esok.

Selepas melihat pasukannya dibelasah Jordan 4-0 Rabu lepas, Cheng Hoe berkata, tumpuan utama akan diberikan kepada bahagian pertahanan supaya Harimau Malaya tidak mengalami nasib sama dibolosi disebabkan kecuaian individu.

Katanya, pasukan negara juga perlu mempertingkatkan tahap kerjasama berpasukan yang dilihat gagal diterapkan ketika perlawanan tempoh hari apabila turun menentang Uzbekistan yang menduduki ranking ke-84 dunia.

"Pasukan perlu lebih fokus kepada pertahanan supaya kita tidak sekali lagi dibolosi dengan gol kesalahan individu dan kita perlukan teamwork (kerja berpasukan) terbaik untuk menghalang Uzbekistan menjaringkan gol dan pada masa kita juga kena menyerang untuk memberi tekanan kepada pihak lawan.

"Dalam beberapa sesi latihan kita perlu menganalisis semula kelemahan pasukan dan kita kena sekali lagi turun ke padang menentang Uzbekistan dengan apa jua kita ada, kita perlu sekurang-kurangnya memberi tentangan terbaik," katanya pada sidang media secara dalam talian, pada Jumaat.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia membuka siri perlawanan persahabatan antarabangsa di Amman dengan kekalahan 0-4 kepada tuan rumah dalam aksi yang berlangsung di Stadium King Abdullah II.

Di atas kertas, Cheng Hoe mengakui Uzbekistan adalah pasukan lebih baik berbanding skuad kendaliannya, selain memiliki kelebihan di bahagian jentera serangan dengan Eldor Shomurodov yang juga pemain kelab Itali AS Roma menjadi antara pemain yang perlu diberi perhatian.

Menjelang pertembungan itu, katanya besar kemungkinan beliau akan menurunkan set pemain berbeza berbanding yang diturunkan ketika menentang Jordan bagi memastikan kesemua pemain mendapat peluang secukupnya untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Katanya beliau juga belum membuat keputusan sama ada pemain muda Luqman Hakim Shamsudin atau pemain naturalisasi Guilherme De Paula akan diturunkan sebagai penggempur utama Harimau Malaya malam esok.

Pada masa sama, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat berkata. kesemua pemain dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan kali ini mempunyai kualiti tersendiri biarpun sesetengah pihak menganggap mereka bukan pemain utama pasukan negara.

"Walaupun kita tahu mereka (Uzbekistan) satu pasukan yang hebat, tapi kami akan lawan sampai ke penghujung perlawanan dan kami boleh bagi tentangan sengit sekurang-kurangnya demi maruah kami sebagai pemain dan peminat di Malaysia.

Apa jadi sekali pun kita tetap bersemangat untuk memberikan tentangan menentang Uzbekistan esok," katanya.

Beliau yang juga menyimpan hasrat mewakili negara pada Kejuaraan Piala AFF 2020 Disember depan berazam memberikan aksi terbaik jika diturunkan pada perlawanan esok, untuk menyaingi kehebatan beberapa penjaga gol tempatan ketika ini.

Harimau Malaya akan bersaing merebut kejuaraan Piala AFF 2020 yang dijadual berlangsung di Singapura pada Disember ini, sebelum menyambung misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kempen itu tahun depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!