Jualan tong air laris, meningkat sekali ganda

Gangguan bekalan air dijangka berlaku di sekitar Lembah Klang pada 13 hingga 16 Oktober. - Gambar hiasan
Gangguan bekalan air dijangka berlaku di sekitar Lembah Klang pada 13 hingga 16 Oktober. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Susulan pengumuman gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang pada 13 Oktober ini, orang ramai dilihat mula membuat persiapan dengan membeli tong simpanan untuk kegunaan mereka.

Menerusi tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai sekitar Seksyen 19 dan 30, di sini pada Jumaat, jualan tong simpanan air laris dan mendapat sambutan daripada orang ramai yang membuat persediaan bagi berdepan gangguan bekalan itu.

Menurut seorang pemilik kedai serbaneka Luezita Ahmad, 48, jualan tong air di premisnya meningkat sekali ganda selepas pengumuman gangguan bekalan berkenaan dibuat oleh pihak berkaitan.

“Sejak dua hari lepas memang ada pertambahan orang datang untuk dapatkan tong air sebagai persediaan hadapi gangguan ini.

“Malah, saya juga jangkakan jualan ini akan lebih meningkat menjelang dua hari sebelum tarikh gangguan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Luezita berkata, buat masa ini, tiada sebarang kenaikan harga dikenakan oleh pembekal tong air menjelang gangguan bekalan yang dijadualkan tidak lama lagi.

Katanya, tong air berkapasiti 46 liter dan 57 liter kebiasaannya lebih menjadi pilihan pengguna yang hadir dan turut laris terjual.

“Harga bagi tong air yang dijual di sini adalah bermula dari RM20 sehingga RM140 bergantung kepada kapasiti, saiz dan material,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut pekerja di sebuah kedai barangan plastik di Seksyen 19, di sini, Mohd Tahir, 36, pihaknya sememangnya menyediakan bekalan tong air yang lebih untuk dijual kepada pengguna.

Katanya, harga tong air yang dijual di kedainya sekitar RM18 hingga RM200 bergantung kepada saiz dan kapasiti.

“Harga tong air masih sama dan tiada sebarang peningkatan mendadak dikenakan oleh pembekal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!