Jaringan Mueller selamatkan Jerman

Sebahagian pemain Jerman meraikan jaringan Mueller (dua, kanan), pada aksi kelayakan berkenaan pada Sabtu. - Foto EPA
Sebahagian pemain Jerman meraikan jaringan Mueller (dua, kanan), pada aksi kelayakan berkenaan pada Sabtu. - Foto EPA
A
A
A

GOL pemain gantian, Thomas Mueller pada minit ke-81, menyelamatkan Jerman daripada diaibkan Romania di hadapan penyokong sendiri pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022, pada Sabtu.

Malah gol berkenaan turut memastikan skuad kendalian Hansi Flick itu mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan J bagi aksi kelayakan berkenaan dengan 18 mata daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Menurut Flick, gol berkenaan telah melengkapkan kebangkitan yang dipamerkan skuad kendaliannya itu setelah ketinggalan 0-1 pada awal permainan.

“Kami dikejutkan pada awal permainan apabila lawan menjaringkan gol. Tapi keadaan itu tidak melemahkan semangat pemain untuk kembali bangkit dan menjaringkan gol.

“Malah, pemain juga dilihat bermain dengan penuh keyakinan, Ini ditambah dengan sokongan daripada penonton yang membuatkan pemain begitu bersemangat sehingga ke penghujung perlawanan,” katanya.

Romania mengejutkan Jerman menerusi gol pembukaan seawal minit ke-9 hasil jaringan Ianis Hagi.

Bagaimanapun, pemain sayap Jerman, Serge Gnabry menyamakan kedudukan pada minit ke-52 sebelum Mueller menjaringkan gol kedua pada minit ke-81 bagi mengesahkan kemenangan skuad Die Mannschaft itu.

Sementara itu Flick mengakui berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain pada perlawanan berkenaan dan berharap ia berterusan bagi berdepan North Macedonia, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya kita menang dengan North Macedonia kita akan mencerahkan lagi peluang bagi merebut slot ke Piala Dunia.

“Oleh itu, diharapkan semua pemain bersedia secukupnya dan memberikan aksi yang lebih baik ketika berdepan North Macedonia nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!