3 kanak-kanak hilang dihanyut arus deras ditemui maut
SETIU - Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik yang hilang dihanyutkan arus deras ketika mencari kepah bersama keluarga di muara Sungai Kampung Mangkuk, di sini pada petang Jumaat ditemui meninggal dunia pada Sabtu.
Mayat mangsa pertama, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pasukan penyelamat pada jam 1.08 pagi Sabtu, kira-kira 800 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, adiknya, Muhammad Aryan Faheem, 7, pula ditemui kira-kira 40 minit kemudian pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mayat Nur Amni Insyirah.
Menurutnya, mayat mangsa ketiga iaitu Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11, berjaya ditemui pada jam 8.15 pagi Sabtu kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.
"Mayat dua beradik dan seorang sepupu ini kemudian dihantar ke Bilik Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Sabtu.
Afandi berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 107 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), agensi berkaitan dan orang awam.
Dengan penemuan ketiga-tiga mangsa itu, katanya, operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada jam 6 petang Jumaat ditutup secara rasmi pada jam 8.45 pagi, Sabtu.
"Saya ingin menasihati orang ramai yang ingin berkelah atau mencari kepah agar lebih berhati-hati dan memahami faktor pasang surut air di muara sungai bagi mengelak kejadian seumpama ini daripada berulang," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dikhuatiri lemas selepas bermain air di muara sungai Kampung Mangkuk di sini petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, tiga mangsa berusia 7 hingga 11 tahun itu dikatakan bersama enam lagi ahli keluarga lain iaitu tiga dewasa dan tiga lagi kanak-kanak bermain air di lokasi tersebut.
Bagaimanapun, berlaku air pasang sebelum menghanyutkan sembilan mangsa bagaimanapun tiga orang dewasa hanya sempat menyelamatkan tiga kanak-kanak manakala tiga lagi kanak-kanak gagal diselamatkan sebelum hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!