Covid-19 bukan halangan rakyat Sabah bersukan
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melihat rakyat di negeri ini tidak menjadikan pandemik Covid-19 alasan untuk tidak bersukan atau beriadah.
Beliau berkata, ini sekali gus menunjukkan bahawa masyarakat Sabah sentiasa sedar bahawa bersukan adalah satu amalan gaya hidup yang sihat.
"Pembukaan beberapa aktiviti sukan di negeri ini sudah pasti menjadi berita gembira kepada mereka yang gemar bersukan.
"Justeru, manfaatkan sepenuhnya mana-mana kemudahan sukan yang disediakan dan dibenarkan beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2021, di Kompleks Sukan Likas di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, sambutan Hari Sukan Negara adalah platform untuk menerapkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'negara bersukan'.
"Negara bersukan adalah salah satu aspirasi atau sasaran kerajaan untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran bersama 2030, selain sebagai wadah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut meminta Kementerian Belia dan Sukan Sabah agar terus membangunkan sukan di negeri ini sekali gus melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antarabangsa.
"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, pembangunan sukan antara yang diberi penekanan.
"Justeru, Kementerian Belia dan Sukan negeri perlu mengambil peluang dalam RMK12 untuk turut membangunkan sukan di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!